disable right click

Monday, April 4, 2011

Monolog Aku - Si Antagonis dan Protagonis

Si Antagonis (Fantasi)

Bila jiwa terlalu kreatif, habis semua hendak dicuba. Apakah? Sudah tahu pokok itu ada bajanya, masih mahu jadi parasit dan membiak sesuka hati. Lama-lama, parasit itu akan dibunuh juga, dibuang kerana siapa mahu melihat pokok yang dikelilingi parasit hijau yang setia menagih simpati.

Cukuplah dengan kebahagiaan orang lain, jangan diganggu kerana apa yang kau dapat hanya sementara. Bodoh, kerana jiwa yang kreatif lah, kau binasa. Cuba lupakan sebentar angan-angan kau itu? Apa faedah yang kau dapat jika terus begini? Kau yakinkah yang kau mampu mencipta satu lagi ruang kosong dalam satu tempat yang kau sendiri sudah tahu ada penghuninya? Untuk berkongsi, jauh panggang dari api.

Cuba kau teruskan sahaja dengan cara hidup kau yang lapuk itu, bergembira dan buat apa yang kau suka. Dari kau jadi Si Protagonis yang semua orang tahu, tak mungkin kau akan berjaya. Haha, bodoh! Padahal masih ada lagi jalan yang kau boleh pilih, kau pilih juga jalan yang tiada cerita penghujungnya. Kau tahu yang penghujungnya hanyalah sebuah cerita sedih yang kau reka sendiri untuk diri kau yang membosankan. Bodoh!


Si Protagonis (Realiti)

Apa aku boleh buat? Aku terjatuh cinta dengannya? Sengaja aku anggap sebagai kawan untuk aku sayang. Aku tahu aku bersalah, aku sendiri tidak mahu ini terjadi. Tolonglah aku Antagonis, aku merayu kau! Aku sudah penat untuk berfikir, apatah lagi dikecewakan. Tapi jauh dalam hati aku, aku ingin setia menunggu dia yang aku sendiri tidak tahu sampai bila.

Aku tahu aku bodoh, tapi apa lagi cara yang aku boleh buat Antagonis? Apa yang kau boleh cadangkan untuk aku lakukan? Kau mahu aku berlagak tidak tahu, padahal dalam hati ini, perasaan rindu aku hanya tuhan yang tahu. Salah aku juga kerana tiba-tiba membenarkan dia perlahan-lahan mengisi ruang dalam hati aku. Tapi bukan aku sengaja, aku parasit dalam hal ini, dan memang itu tugas aku.

Argh, apa yang perlu aku buat??? Cuba sesiapa tolong jelaskan pada aku, aku bukanlah pakar. Aku umpama penggunting rambut, mungkin rambut orang aku boleh buat macam-macam stail. Tapi tidak rambut aku. Sesiapa, tolonglah aku...

Sunday, April 3, 2011

Bila "potionist" bersuara.

Sayang itu ada. Aku sayang kawan-kawan aku, aku tidak sanggup kehilangan mereka yang sentiasa ada di sisi aku. Sayang pada ibu bapa, kerana merekalah aku ada disini dan sedang menulis atas papan kekunci lusuh ini. Aku sayang orang itu apabila aku percayakan mereka, apabila aku sudah mengenali hati budi mereka.

Bagi aku, sayang bermaksud kita saling memahami dan saling menghargai. Kerana itulah perasaan sayang terbentuk. Ia lahir dari jiwa kita dan terus turun ke hati. Cukuplah sekadar sayang, kerana sayang hanyalah peringkat kedua dalam kehidupan. Yang pertama adalah suka, kemudian, sayang, dan barulah cinta. Seorang lelaki boleh menyayangi lelaki lain, tapi tidak mencintai mereka kecuali mencintai Rasulallah S.A.W. Tetapi seorang lelaki atau wanita boleh mencintai mana-mana wanita atau lelaki kerana Tuhan menciptakan kita dengan jodoh masing-masing.

Aku mungkin masih dengan dunia aku sendiri. Aku lebih selesa hidup berseorangan tanpa perlu ada komitmen. Tapi itu tidak bermaksud aku tidak mempunyai perasaan. Seseorang bertanya pada aku, "alangkah bagus jika dunia ini tiada perasaan". Agak janggal pertanyaan sebegitu, kerana tanpa perasaan sama seperti patung yang dicipta manusia, cantik tapi tidak berfungsi. Perasaan adalah satu jenis norma kompleks yang tidak dapat dikira dan hanya boleh ditafsir dengan riak wajah atau percakapan.

Bagi aku, lebih bagus kalau ada orang bertanya pada aku. Kan bagus kalau boleh hidup kekal muda dan abadi? :)

Saturday, April 2, 2011

Aku dan Kolej

 "2 hari yang memenatkan, 2 hari yang menghiburkan, 2 hari yang menyentuh diri aku."

Buat pertama kali setelah sekian lama, aku dapat rasakan kembali kegembiraan yang sudah lama aku kehilangannya. Kegembiraan yang menyentuh aku sehingga aku tidak ingin hari ini untuk berakhir. Dapat bersama rakan-rakan, masing-masing bergembira dan berseronok bersama.

Bercakap tentang kehidupan, anda akan rasa hidup anda hilang sedikit demi sedikit jika tiada kegembiraan di sisi anda. Percayalah, aku sendiri pernah melaluinya. Cukuplah semua orang dapat menikmati saat-saat bahagia bersama. Cukuplah semua orang saling menghormati antara satu sama lain. Dunia akan jadi lebih harmoni.

Habis sudah 2 hari penuh bermakna. Lagi 9 hari sebelum peperiksaan akhir Semester 5. Masih ada satu kerja khusus yang aku perlu siapkan. Beginilah kehidupan di kolej, rakan-rakan masih di sisi. Bayangkan bila semua sudah bekerja, masing-masing berpisah. Adakah masih mahu untuk hubungi satu sama lain? :)

Wednesday, March 30, 2011

Masa dan Cinta

Lokasi : Cafe Kolej
Masa : 1.59 PM


Haih, boring menunggu masa berlalu untuk kelas seterusnya. Ikut hati nak saja balik dan tidur. Tapi sengaja aku pergi men"online"kan diri aku untuk membuang masa. Puas melayari "facebook" yang kerap dikunjungi remaja sekarang, aku terbaca satu ayat yang mungkin biasa bagi orang lain tapi tidak bagi aku.

"Hanya kematian yang mampu memisahkan kita."

Meremang bulu roma aku baca, sampai begitu sekali tahap percintaan seseorang. Jadi macam mana pula kalau tiba-tiba salah seorang mati? Adakah yang masih hidup dapat meneruskan kehidupan? Kalau masih hidup pun sudah cerita pasal mati. Haih.

Betul ke cinta sejati ini ada? Ramai ke orang yang pernah melalui cinta sebegini? Bagi aku, cinta sejati tak pernah ada. Aku mengklasifikasikan cinta yang bahagia jika pasangan itu baru memulakan cinta mereka. Selalu aku nampak, orang yang sudah lama bercinta, bercinta seperti biasa. Tiada yang luarbiasa, kecuali tempoh mereka bercinta. Ada yang lebih dari 5 tahun, ada yang lebih dari 10 tahun. Pelik.

"Masa, masa, masa! Cepatlah berlalu."

Tuesday, March 29, 2011

Tua, satu subjektif yang aku benci.

Selalu aku berfikir, bolehkah manusia hidup abadi? Selamanya muda dan tidak akan "TUA". "TUA" adalah satu perkataan yang berkait dengan tempoh hayat, umur, keadaan fizikal, pemikiran dan macam-macam lagi. Ahh, aku paling benci dengan perkataan "TUA"!. Sengaja aku pasang lagu Never Grow Old - The Cranberries dan Young Forever - Jay-Z ft. Mr. Hudson. Ulang-ulang aku dendangkan, memahami setiap bait lirik yang penuh bermakna. Aku lebih rela kekal berumur 16 tahun sepanjang hidup. Hurmm.

'Forever young'
'I hope you stay'
'Forever young'
'Do-do-do-do...'

Lagu penuh makna tersirat. Aku tidak kisah jika aku mati ketika aku muda, aku tidak kisah jika aku tidak merasa apa itu "TUA", yang penting aku menikmati zaman aku muda. Ketika inilah setiap insan yang bergelar remaja menghabiskan masa dengan berhibur dan berseronok. Dan pada ketika inilah, setiap orang "TUA" yang ada sekarang akan selalu teringat. Memori mereka yang paling indah, yang paling bermakna.


Ya, kebahagiaan, perpisahan, pertelingkahan, akan sentiasa berlaku. Tiada insan yang sempurna kerana Tuhan ciptakan kita Maha Adil.

'I had a dream'
'Strange it may seems'
'It was my perfect day...'

Lagu ini berulang lagi, ahh, betapa aku terpesona dengan lirik dan alunan muziknya. Alangkah indah jika dunia ini sentiasa gembira tanpa unsur kebencian. Semua orang menghormati dan menyukai sesama lain. Bayangkanlah. Keluarga tiada masalah, tiada perceraian, tiada keganasan, tiada kebencian. Dunia akan lebih aman, setiap orang saling memahami. Tidak mustahil Tuhan akan berikan kehidupan yang kekal abadi.